Sabtu, 16 Oktober 2010

PM garis 4 perkara laksana sistem pendidikan

Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan intelek di kalangan generasi baru yang boleh berfikir secara kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memupuk generasi baru yang sangat tinggi daya ingin tahu kerana ini membuka ruang buat mereka untuk mencari maklumat.

"Kalau seseorang itu punyai daya ingin tahu tinggi, dia akan rajin baca buku, akan rajin cari sumber maklumat. Dia akan merupakan seorang individu yang akan sentiasa mahu meningkatkan pengetahuan sepanjang hayatnya," katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di Kuala Lumpr, hari ini.

Perhimpunan itu, yang dihadiri kira-kira 14,000 guru dari seluruh negara, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata sistem pendidikan negara yang melibatkan perkara termasuk cara mengajar di bilik darjah, menyediakan kertas soalan dan buku teks sepatutnya menjurus kepada pembangunan intelek dan menjana minda yang sangat kreatif dan inovatif.

- Bernama

Khamis, 14 Oktober 2010

Guru DG 41 'Patah Hati' Isu Gaji Guru Belum Selesai

Berita Harian

BULAN lalu, Kementerian Pelajaran mengumpul maklumat melalui Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing mengenai guru gred DG41 yang dilantik dari DGA29 yang dikatakan berjumlah 8,000 orang.

Ia terjadi akibat desakan dan rundingan daripada banyak pihak seperti NUTP/KPPK ekoran daripada rasa tidak puas hati dan kerugian yang ditanggung guru yang dilantik ke gred DG41 dari gred DGA29 tanpa mendapat gred DGA32 terlebih dulu.

Masalah itu disebabkan kenaikan gaji pada Julai 2007 sebanyak 25 peratus bagi kakitangan sokongan. Perkara itu diakui sendiri dan sedang mendapat perhatian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Penjelasan paling mudah untuk memahami situasi ini, saya memberi contoh mengenai tiga guru yang mengajar selama 13 tahun yang dikira selepas kenaikan gaji pada Julai 2007 seperti berikut:

Guru A, masih gred DGA29, P1T13 kerana gagal dalam PTK dengan gaji pokok RM2,186.16. Guru B, lulus PTK dan bergred DGA32, P1T3 dengan gaji pokok RM2,612.69, manakala, Guru C, bergred DG41, P1T7 dari gred DGA29 tanpa mendapat gred DGA32 dengan gaji pokok RM2,238.55. Semua guru berkhidmat selama 13 tahun daripada lantikan asal gred DGA29.

Perbezaan gaji pokok guru gred DG41 dengan DGA29 ialah RM2,238.55 � RM2,186.16 = RM52.39 saja, manakala perbezaan gaji pokok DGA32 dengan DG41 ialah RM2,612.69 � RM2,238.55 = RM374.14. Bagi kenaikan gaji tahunan pula, guru bergred DGA29 ialah RM65.04. Bagi guru gred DGA32 pula ialah RM98.31, manakala bagi guru gred DG41, RM90.45.
Inilah hakikat gaji pokok dan kadar kenaikan gaji tahunan bagi guru DG41 yang berijazah dan yang berkorban tenaga, masa dan wang selama empat tahun untuk mendapatkan ijazah. Mereka hilang semua time based ketika berkhidmat di gred DGA29 dulu apabila menjawat gred DG41 yang memerlukan masa paling kurang 10 tahun lagi untuk layak memohon jawatan gred DG44.

Kebanyakan guru DG41 sudah berumur yang tidak akan mencapai gaji maksimum dalam DG41. Malah �cukup-cukup makan� untuk merasa gred DG44. Ini pun jika ada rezeki dan panjang umur.

Guru DGA32 sebelum ini hanya perlu masa dua jam menduduki peperiksaan PTK untuk lulus tanpa melalui pengorbanan seperti guru DG41 dan tidak hilang time based untuk memohon DGA34 dan DGA38. Guru DGA32 bukan saja mendapat kenaikan gaji lebih tinggi, malah mendapat durian runtuh daripada tunggakan kenaikan gaji hingga belasan ribuan ringgit.

Semua guru DGA29 berpeluang mendapat DGA32 bersama durian runtuh masing-masing, asalkan lulus PTK dan cukup time based. Semua itu tidak dapat dirasai guru DG41 yang hanya 'menggigit jari' melihat guru DGA32 mendapat durian runtuh.
Kegembiraan guru DGA32 tidak berakhir di situ saja kerana ada yang menunggu untuk dilantik ke DG41. Sekali lagi gaji pokok mereka naik.

Saya berharap kerajaan menimbang sebaik mungkin keluhan dan nasib guru DG41 selama ini. Keputusan yang tepat memang perlu supaya tidak ada jurang besar gaji pokok dan kenaikan gaji tahunan bagi DGA32 dengan DG41 dan guru DG41 tidak patah hati untuk bekerja dengan baik.

ENMA ABDULLAH,
Kuantan, Pahang.

Sumber : Berita harian

Puad: Mata pelajaran Perlembagaan tak perlu

Kementerian Pelajaran belum bercadang untuk mewujudkan mata pelajaran khusus berkaitan perlembagaan di sekolah kerana sukatan pelajaran sekarang telah mencakupi aspek itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi berkata elemen berkenaan telah dimasukkan dalam kandungan beberapa mata pelajaran khususnya Sejarah, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Moral.

"Dalam mata pelajaran Sejarah, murid didedahkan kepada latar belakang perlembagaan berdasarkan rentetan peristiwa, iaitu melalui tema 'Pembinaan Negara dan Bangsa ke Arah Kemunculan Negara Malaysia Berdaulat' di Tingkatan Lima," katanya.

Tema itu membincangkan tentang usaha ke arah pembinaan sebuah negara dan bangsa yang merdeka dan berdaulat, kata Mohd Puad bagi menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) mengenai sama ada terdapat usaha daripada kementerian untuk memperkenalkan subjek perlembagaan di peringkat sekolah menengah.

Beliau berkata asas Perlembagaan Malaysia juga diterapkan dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) yang juga merupakan mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah menengah.

Komponen asas Perlembagaan diterapkan dalam Tema 5 :"Malaysia Negara Berdaulat", dan antara tajuk yang dibincangkan ialah "Raja Perlembagaan", "Peruntukan Utama Perlembagaan Malaysia", "Kepentingan Perlembagaan Malaysia". "Tugas dan Tanggungjawab Warganegara dalam Kerajaan Demokrasi dan Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia".

Bagi murid bukan Islam, asas Perlembagaan Malaysia turut ditekankan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral yang dilaksanakan melalui bidang pembelajaran "Nilai Berkaitan Hak Asasi Manusia" seperti "Melindungi Hak Kanak-Kanak", "Menghormati Hak Wanita", "Melindungi Hak Pengguna" dan "Nilai Berkaitan Demokrasi", "Mematuhi Peraturan dan Undang-Undang", dan "Kebebasan Bersuara Serta Kebebasan Beragama".

Mohd Puad berkata selain itu elemen hak asasi turut diterapkan dalam kurikulum PSK sekolah rendah dan menengah melalui tajuk perbincangan seperti "Cabaran Masa Depan", "Menghormati Hak Orang Lain", "Peraturan Serta Undang-Undang Dalam Masyarakat" dan "Hidup Bermasyarakat".

Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Mohd Puad berkata kementerian membuat semakan berhubung mata pelajaran di sekolah dari semasa ke semasa bagi menyesuaikannya dengan keadaan terkini.

- Bernama