Selasa, 19 Oktober 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1986

Panitia Mata Pelajaran


Dalam menjalankan kerja-kerja penyeliaan sekolah-sekolah oleh Jemaah Nazir Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, salah satu perkara yang hendak diselia adalah tentang kewujudan dan keberkesanan panitia mata pelajaran di sekolah-sekolah. Adalah didapati bahawa ada sekolah-sekolah yang telah menubuhkan panitia mata pelajaran dan dapat berfungsi dengan baik dan ada pula sebaliknya. Walau bagaimanapun, sama ada panitia mata pelajaran itu berfungsi atau tidak, Kementerian Pelajaran difahamkan bahawa pihak-pihak yang telah membuat penyeliaan ini telah ditanya oleh pihak sekolah, atas dasar atau arahan manakah, panitia mata pelajaran ini perlu ditubuhkan.
2.    Oleh yang demikian, surat pekeliling ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memberitahu pihak sekolah tentang perlunya penubuhan panitia mata pelajaran, supaya dengan ini, perhubungan dua hala di antara pihak sekolah dengan pihak-pihak yang membuat penyeliaan dapat diadakan dengan lebih berkesan lagi.
3.    Berikut adalah panduan mengenai panitia mata pelajaran dan pihak sekolah adalah dikehendaki menubuh atau memperkemaskan panitia mata pelajaran supaya keberkesanan pengajaran-pengajaran di sekolah dapat ditingkatkan
      3.1 Latarbelakang
            Kebanyakan para pelajar dalam pembelajaran dan motivasi serta minat mereka
            terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari mempunyai hubungan rapat dengan
            kebolehan dan kekesanan guru yang mengajar. Guru tidak ragu-ragu lagi mempunyai
            peranan yang penting dalam menentukan sama ada matlamat pencapaian akademik
            para pelajar di sekolah tercapai atau tidak.
           Menyedari hakikat ini, maka adalah wajar bagi guru yang terlibat atau mengajar
           sesuatu mata pelajaran yang sama, menggembelingkan tenaga mereka dan
           menyelaraskan aktiviti-aktiviti dan / atau tugas-tugas mengajar sebagai pendidik.
           Mereka juga harus mempunyai semangat bekerjasama, saling membantu dan
           berkongsi fikiran, pengalaman serta kepakaran untuk memperbaiki lagi kecekepan dan
           kekesanan mereka. Dengan demikian, guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran
            berpeluang untuk bekerjasama dan menyelaraskan usaha mereka  dengan lebih
            terkelola dan bersepadu. Dengan wujudnya badan ikhtisas seumpama ini, guru
            yang menganggotainya juga berpeluang untuk mencari penyelesaian kepada
            masalah-masalah  bukan sahaja dalam bidang pengajaran, bahkan juga masalah
            yang berhubung dengan motivasi, sikap dan tabiat belajar pelajar.
     3.2 Struktur dan Organisasi
           3.2.1 Panitia mata pelajaran adalah sebuah badan ikhtisas yang dianggotai oleh
                    semua guru yang mengajar mata pelajaran yang sama di sesebuah sekolah.
                    (Sekolah-sekolah kecil yang bilangan gurunya sedikit adalah difikirkan tidak
                    perlu menubuh pelbagai panitia mata pelajaran.)
           3.2.3 Badan ini hendaklah dipimpin dan dikendalikan oleh seorang guru kanan yang
                    dilantik  sebagai Ketua Panitia oleh Guru Besar atau Pengetua Sekolah
          3.2.3 Semua ketua panitia mata pelajaran adalah secara otomatis menjadi ahli
                  Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Mereka ini mewakili panitia mata pelajaran
                  masing-masing di dalam jawatankuasa tersebut dan menjadi penghubung
                   di antara ahli panitia dengan Guru Besar atau Pengetua Sekolah.
          3.2.4 Keputusan-keputusan yang diambil oleh tiap-tiap panitia di dalam
                  perjumpaan-perjumpaan berhubung dengan isu-isu atau masalah-masalah
                  kurikulum dan pengajaran perlu dibawa oleh ketua panitia kepada Guru Besar
                  atau Pengetua atau Penolong Kanannya, sama ada  untuk untuk mendapat
                  penyelesaian atau untuk makluman
         3.2.5  Di sekolah-sekolah di mana Jawatankuasa Kurikulum Sekolah belum ditubuhkan,
                  ketua panitia masih memainkan peranan penting untuk berhubung dengan Guru
                  Besar atau Pengetua bagi membentangkan masalah-masalah atau isu-isu yang
                   sedang dihadapi dan mengesyorkan segala cadangan atau permintaan ahli-ahli
                   panitia berhubung dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.
   3.3  Tujuan Panitia Mata Pelajaran
          Berikut adalah di antara beberapa tujuan yang dikenalpasti untuk panitia mata
          pelajaran:
          3.3.1 Memperbaiki dan meningkatkan mutu dan kekesanan pengajaran dan
                  pembelajaran
         3.3.2 Berikhtiar dan berusaha untuk mendapatkan strategi-strategi mengajar yang
                  inovatif dan boleh mendorong serta menggerakkan kecenderungan para pelajar
                  terhadap pembelajaran
         3.3.3 Memperbaiki prestasi pelajar di dalam peperiksaan (berasaskan sekolah dan
                 awam) dalam mata pelajaran berkenaan berpandukan atau berasaskan kepada
                 prestasi / target yang ditunjukkan dalam rancangan akademik sekolah.
          3.3.4 Mewujudkan semangat kerjasama di antara mata pelajaran dengan persatuan
                  kelab akademik
  3.4  Peranan Panitia
         Berikut adalah di antara perkara yang dianggap perlu dilaksanakan oleh panitia, sejajar
          dengan peranannya sebagai sebuah badan ikhtisas.
          3.4.1  Memperolehi sukatan pelajaran yang terbaru atau kemaskini untuk kegunaan
                    ahli-ahli panitia;
          3.4.2  Menyediakan rancangan mengajar untuk ketiga-tiga penggal dalam tahun
                    persekolahan. Rancangan mengajar ini diselaraskan di antara guru dalam
                    sesuatu tingkatan/darjah dan juga di antara tingkatan/darjah di mana ada kaitan;
           3.4.3 Memilih dan mencadangkan kepada pentadbir sekolah buku teks untuk
                    digunakan oleh pelajar berdasarkan kesesuaian buku itu dari segi kehendak
                    sukatan pelajaran dan tahap kebolehan mereka.
           3.4.4 Memilih dan mencadangkan buku rujukan atau bahan bacaan tambahan yang
                    sesuai dengan keperluan pembelajaran para pelajar dan kegunaan guru untuk
                    dibekalkan di pusat  sumber sekolah;
          3.4.5  Menyelaraskan soalan-soalan ujian dan peperiksaan (berasaskan sekolah ) yang
                   disediakan bagi tiap-tiap tingkatan atau darjah dan jika perlu, menubuhkan bank
                    soalan;
          3.4.6  Mengkaji dan menganalisa keputusan peperiksaan pelajar dalam tiap-tiap
                    peperiksaan sekolah (khususnya peperiksaan pertengahan dan akhir tahun) dan
                    mengambil langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan-kelemahan pengajaran
                    dan pembelajaran;
          3.4.7  Mengadakan mesyauarat panitia secara berkala sekurang-kurangnya sekali
                    sepenggal dan  mengadakan perjumpaan secara 'ad-hoc' bila dan jika perlu;
         3.4.8  Mengatur perjumpaan atau mesyuarat dengan ahli-ahli panitia (secara froamal
                    atau tidak formal) untuk memikir dan membincangkan masalah-masalah atau
                    isu-isu yang berkaitan seperti masalah-masalah yang berhubung dengan kaedah
                    mengajar serta mencari penyelesaian kepada masalah atau isu tersebut;
         3.4.9  Bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan baru yang diperolehi setelah
                    mengikuti kursus  atau seminar dengan ahli-ahli lain;
          3.4.10 Mewujudkan semangat saling bekerjasama dengan persatuan di sekolah dan
                    menjalin hubungan kerja yang boleh membantu bagi mencapai matlamat
                    pengajaran dan pembelajaran;
         3.4.11 Bekerjasama dan bertukar-tukar fikiran, pengalaman dan kepakaran dengan
                    panitia-panitia di sekolah-sekolah berhampiran atau sekawasan;
         3.4.12 Bekerjsama dengan lain-lain panitia dan membantunya dalam usaha ke arah
                    memajukan pelajar yang lemah dalam mata-mata pelajaran tertentu;
         3.4.13 Melantik seorang setiausaha dari kalangan ahli untuk menyediakan minit
                    mesyuarat dan mengedarkan minit itu kepada semua ahli panitia;
         3.4.14 Menyelenggarakan fail-fail panitia dan semua minit atau laporan mesyuarat, surat menyurat  dan rekod-rekod yang berkenaan.